Sahabat yang baik akan menikam rakannya dari hadapan – Oscar Wilde
Aku tiba-tiba teringat kata-kata sementara menanti bas ketika kepala aku ligat berfikir tentang orang-orang di sekeliling aku. Siapa rakan? Siapa lawan? Siapa sahabat dan siapa pula kekasih? Rakan bagi aku adalah orang-orang yang aku kenal, pernah aku tegur dan mereka juga mengenali aku. Mereka ini bukanlah orang yang aku harapkan ketika aku susah atau dilanda gundah kerana aku sendiri juga tidak menghulurkan bantuan ketika mereka memerlukan.
Lawan, siapa pula mereka? Jika ikutkan hati aku tidak mahu mempunyai musuh, aku tidak suka mencari gaduh tetapi kadangkala keadaan dan masa membuatkan kita terlibat dalam kemelut yang entah mana datangnya dan entah bila pula perginya. Masing-masing hilang dalam pertimbangan penuh emosi yang akhirnya memakan diri. Perkataan maaf memang mudah ditulis tetapi amat payah diungkap…jika kita mampu mengungkap kata itu dengan ikhlas, mudah-mudahan tak muncul lawan yang mampu merebahkan. Siapa lawan aku? Aku tidak tahu dan mungkin juga tidak mahu tahu…harap aku jika ada berbuat salah maafkanlah. Bercakap mengenai lawan aku teringat kata-kata yang pernah dibaca, lawan yang paling bahaya adalah sahabat yang memegang segala rahsia kita.
Sahabat…perkataan indah dalam perhubungan sesama insan. Sahabat punya makna yang mendalam bagi aku. Sahabat adalah seseorang yang sanggup meredah susah dan senang bersama kita tanpa sekalipun meminta habuan. Seperti mana Saidina Abu Bakar r.a. dan Rasulullah s.a.w.
Nilai sahabat itu terlalu tinggi dan dan secara jujurnya aku merasakan aku bukanlah seorang sahabat yang baik. Sahabat yang baik akan memberitahu dengan jujur bahawa rakannya itu sedang menempah susah. Tapi aku? Senyap, hanya memandang dengan seribu rasa yang mengundang di hati. Aku senyap tika orang lain berbincang dibelakang baik dan buruk kesan perbuatan. Aku tersenyum kelat ketika diminta pandangan. Aku hanya mampu memandang ketika angin-angin tegang bertiup kencang yang mampu mengundang perbalahan yang panjang. Aku senyap tidak berkata apa-apa.
Sejujurnya aku sayangkan nilai sahabat itu. Aku sebolehnya mahu memahami tetapi kadang-kadang bukan mudah kita mahu berada ditempat orang. Antara sahabat dan kekasih mana yang perlu didulukan? Satu persoalan yang payah..bak kata orang tua-tua diluah mati emak, ditelan mati bapak. Jika aku..pasti keliru. ‘Sahabat itu rasional, kasih itu emosional’. Terpulang pada kita untuk menggunakan akal atau hati. Apa yang pasti seorang sahabat yang baik akan sedaya upaya memahami, walau kadang-kala berkecil hati. Tapi itu cuma sekejap…persahabatan yang ikhlas mampu diingati sehingga mati
Monday, April 24, 2006
0 comments:
Post a Comment