-->
Searching...
Thursday, March 22, 2007
8:39 PM

Email sengal...



Perbezaan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal terletak pada rohaninya. Apa yang difikir menentukan apa yang dicapai. -Hamka

Aku tak pasti mana bagaimana perkataan 'sengal' itu bertukar makna tapi adik aku suka gunakan untuk menggambarkan ketidakpuasan hatinya. Maka konklusi yang aku dapat..perkataan itu bermaksud sesuatu kita tidak suka, kurang rencahnya atau sememangnya menyampah sehingga terasa ingin dihumban ke kutub Antartika.

Hari ini aku ingin bercerita tentang email-email sengal yang sering aku terima. Khidmat email ini aku rasa sesuatu yang mulia...mendekatkan yang jauh dan mengeratkan yang dekat tapi yang kurang sedapnya apabila khidmat yang rata-ratanya percuma ini disalah guna ...pembaziran nikmat.

Bukan aku tidak suka menerima email-email kiriman teman. Malah aku amat gembira dan berterima kasih kerana kiriman itu membuktikan yang aku ni masih lagi dalam senarai kenalan yang tidak dilupakan.Gembira kerana masih ada yang ingat walaupun mungkin juga aku hanya tersenarai dalam buku alamat maka email tersebut aku dapat. Tak kisah la Walaupun kadang-kala panjang perkataan 'forward' itu sendiri memenuhi 3/4 muka surat berbanding isinya yang sekerat.

Cuma aku kurang gemar menerima email yang kandungannya penuh gambar orang kemalangan bergelimpangan di jalan raya, gambar-gambar separa porno kisah orang berasmaradana di balik rimba, gambar autopsi kanak-kanak mati didera.

Ini bukan kerana kepantangan aku melihat orang mati (itu hakikat..aku sedikit fobia berhadapan gambaran ngeri) tapi lebih kepada etika kita sebagai manusia di muka bumi. Bukankah kita diminta supaya menghormati si mati walaupun semasa hayatnya dia berbangga beraksi 'wheelie' dan takdirnya malang, maut tragis digilis lori. Tapi itu tidak bermaksud kita boleh menayangkan mayatnya sesuka hati walaupun bukan saudara sendiri.

Aku pernah belajar anatomi, dan semasa kelas cikgu berpesan supaya kami tidak merakam gambar mayat walaupun untuk tujuan sebagai memori kerana katanya mayat tersebut perlu dihormati. Alang-alang mayat yang telah mendedikasikan hidupnya kepada pelajaran pun tidak boleh dirakan aksi apatah lagi mayat seorang manusia yang tidak menandatangan apa-apa perjanjian untuk menjadi bahan pelajaran ataupun teladan.

Memang ada niat mulia si pengirim yang terselit... ingin ianya dijadikan pengajaran namun caranya kurang cerdik. Ingin mencegah kemungkaran tetapi duduk disebalik semak merakam aksi lucah yang meloyakan. Bukankah lebih baik sekiranya si perakam menegur si pelaku sebelum aksi-aksi porno terjadi daripada membiarkan ia berlaku di depan mata. Melaungkan misi mencegah kemungkaran...mana pencegahannya?? membiarkan saja berlaku di depan mata, atau ada mekanisma pencegahan melalui kamera? Boleh bebal hati kalau asyik dihidang gambar-gambar 'biru' begini.

Bukan ingin bersyarah...tetapi hanya meluah apa yang dirasa, walaupun menghantar email satu kerja yang maha senang namun sekurang-kurangnya biarlah dihantar dengan sedikit rasa tanggungjawab sesama insan.

Kebenaran tak mampu dijulang jika ditegakkan dengan cara yang salah - kata pujangga

3 comments:

muNm said...

leen, lately u really like to post pictures of *ahem* your friend eh....

Huhuuhu

Leen said...
This comment has been removed by the author.
Leen said...

at least its not obscene..hehehe

 
Back to top!