-->
Searching...
Friday, January 19, 2007
11:48 PM

Peperiksaan harus bantu murid, bukan menghukum

PULAU PINANG: Sistem peperiksaan yang diamalkan dalam negara seharusnya menjadi kayu ukur kepada kefahaman murid terhadap ilmu yang dipelajari, dan bukannya bersifat `menghukum' mereka jika gagal mencapai keputusan baik, kata Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Abdul Rashid Mohamed.

Beliau berkata peperiksaan juga seharusnya bertujuan menyediakan ruang untuk memperbaiki sebarang kelemahan supaya murid berkenaan tidak tercicir dalam pelajaran dan kehidupan.

Katanya walau apa sahaja peperiksaan, lebih-lebih lagi di peringkat awal, ia seharusnya tidak "menghukum" murid yang tidak mencapai keputusan yang cemerlang sebagai gagal dalam pelajaran dan sekaligus dalam hidup.

Menurutnya peperiksaan seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak memberikan gambaran sebenar bakat dan kebolehan murid kerana kebanyakan mereka yang lulus didapati menghadiri kelas tambahan serta menguasai sistem menghafal yang berkesan.

"Dalam kebanyakan hal, murid yang tidak mendapat 5A dianggap tidak berjaya sedangkan mereka mempunyai kebolehan dan potensi dalam bidang lain, dan tidak semua murid yang mendapat 5A menjadi orang yang berjaya apabila mereka dewasa kelak," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Abdul Rashid berkata setiap murid mempunyai "multi inteligence" dan mereka wajar diberikan semangat serta bantuan supaya tidak patah semangat di peringkat awal pendidikan.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM) yang mahu UPSR dimansuhkan kerana sistem peperiksaan itu didakwa terlalu mementingkan keputusan akademik dan tidak membantu membentuk sahsiah diri murid.

Katanya kebanyakan pelajar yang memasuki pusat pengajian tinggi juga didapati tidak boleh belajar secara sendiri kerana sudah biasa diberikan segala-galanya oleh guru dan semua pihak.

Murid yang berjaya dalam pelajaran juga tidak semestinya mempunyai sahsiah yang baik, dan sehubungan itu Abdul Rashid berkata beliau merasakan sistem peperiksaan UPSR perlu dikaji semula objektifnya, dan dimansuhkan jika perlu.

Beliau seterusnya mencadangkan supaya satu bentuk ujian yang menilai pelbagai kemahiran pelajar diperkenalkan, dan bukan setakat mampu melahirkan pelajar yang berjaya menghafal.

Sumber http://www.mstar.com.my (19.01.2007)

Aku sokong sepenuhnya cadangan ini. Bagi ler bebudak darjah 6 ni seronok belajar bukannya mendera emosi dan perasan dengan tekanan peperiksaan. Biar ler pendidikan tu jadi sesuatu yang menyeronokkan bukan satu keterpaksaan.

0 comments:

 
Back to top!